Hubungan luar negeri Jerman

Canselor Angela Merkel menganjurkan sidang puncak G8 di Heiligendamm.

Jerman telah memainkan peranan utama di dalam Kesatuan Eropah sejak penubuhannya dan masih mengekalkan persahabatan erat dengan Perancis sejak tamatnya Perang Dunia II. Kedua-dua negara sekutu ini amat rapat terutamanya sekitar lewat dekad 1980-an dan awal 1990-an di bawah pimpinan Canselor Helmut Kohl (CDU) dan Presiden François Mitterrand (Sosialis). Jerman juga merupakan negara Eropah yang mendukung kuat pembentukan cabang-cabang politik, pertahanan dan keselamatan Eropah yang bersatu dan berkemampuan.[1]

Sejak penubuhannya pada 23 Mei 1949, Republik Persekutuan Jerman tidak menampilkan imej yang sangat menonjol di dalam hubungan antarabangsa kerana sejarahnya yang terkini dan pendudukan wilayahnya oleh kuasa-kuasa asing. Ketika Perang Dingin, Jerman yang dibahagikan oleh Tirai Besi, menjadi simbol ketegangan Barat dan Timur dan juga medan pertempuran politik dan fahaman di Eropah. Namun, Ostpolitik yang dibawakan Canselor Willy Brandt merupakan faktor utama yang membawa kepada peredaan ketegangan (Perancis: détente) sekitar 1970-an. Pada tahun 1999, Canselor Gerhard Schröder memperkenalkan prinsip baru dasar luar kerajaannya dengan penglibatan Jerman dalam Perang NATO ke atas Yugoslavia dan dengan menghantar Tentera Persekutuan Jerman di dalam pertempuran buat pertama kalinya selepas Perang Dunia II.

Jerman dan Amerika Syarikat merupakan dua negara sekutu yang rapat.[2] Melalui Rancangan Marshall (1948), AS menyokong usaha-usaha membangunkan semula Jerman selepas Perang Dunia II. Namun begitu, bangkangan keras Schröder terhadap Perang Iraq dilihat sebagai penyejukan hubungan Amerika-Jerman. Kedua-dua negara ini juga saling bergantung dari segi ekonomi kerana 8.8% eksport Jerman adalah ke AS manakala 6.6% import berasal daripada AS.[3] Di pihak AS pula, 8.8% eksportnya ialah ke Jerman, manakala 9.8% importnya datang dari negara ini.[3] Tanda-tanda lain yang membuktikan hubungan erat ialah kedudukan berterusan rakyat Amerika berketurunan Jerman sebagai kumpulan etnik terbesar di AS[4] dan taraf Pangkalan Udara Rammstein (dekat Kaiserslautern) sebagai komuniti tentera AS paling besar di luar AS.[5]

  1. ^ "Pengisytiharan oleh Majlis Keselamatan dan Pertahanan Perancis-Jerman". 13 Mei 2001. Dicapai pada 2008-09-11.
  2. ^ "Nota latar belakang: Jerman - Hubungan AS-Jerman" (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Negara AS. Januari 2008. Dicapai pada 2008-09-11.
  3. ^ a b Kedutaan AS Berlin (Mei 2006). Helaian Fakta: Hubungan Ekonomi AS-Jerman (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-05-11. Dicapai pada 2008-09-11.
  4. ^ "Jerman masih paling kerap dilaporkan sebagai keturunan" (dalam bahasa Inggeris). Biro Bancian AS. 30 Jun 2004. Dicapai pada 2008-09-11.
  5. ^ "Kaiserslautern, Jerman" (dalam bahasa Inggeris). Tentera AS. Dicapai pada 2008-09-11.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search